Shafee mohon gantung prosiding kes saman LHDN

Muhammad Shafee.- Foto fail Bernama
Muhammad Shafee.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut beliau supaya membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta sementara menunggu pelupusan rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Muhammad Shafee, 69, yang memfailkan permohonan itu pada 3 November lepas antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata keputusan rayuan Najib dan anaknya boleh memberi kesan kepada saman terhadapnya.

Permohonan Najib dan Mohd Nazifuddin akan didengar pada 16 Februari 2022.

Muhammad Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan iaitu Borang Q terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.

Pada 27 September lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei lepas mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Bernama