Terminal 17 beroperasi kembali?

Pembukaan semula Terminal 17 dinanti sejak hampir lima tahun oleh penduduk.
A
A

SHAH ALAM - Desas-desus Terminal Bas Seksyen 17, di sini bakal beroperasi pada 18 Mac nanti, nyata memberi sinar kegembiraan buat kebanyakan peniaga sekitar.

Walaupun maklumat yang tular sejak minggu lalu itu masih belum dapat dipastikan kesahihannya, ia jelas dianggap berita baik buat mereka.

Peniaga kedai emas, Zamri Dollah, 40, ketika ditemui berkata, dia sangat gembira dengan perkhabaran itu kerana kawasan terbabit akan kembali 'hidup' seperti lima tahun dulu.

Menurutnya, dengan kehadiran ramai pengunjung di terminal itu nanti, pasti keadaan di sini kembali meriah dan sibuk.

Katanya, dia dan peniaga lain di sini tidak akan berasa sunyi lagi.

"Selepas stesen bas lama ditutup pada 2014 untuk naik taraf menjadi terminal, keadaan di sini berubah sekelip mata.

"Kawasan yang sibuk bertukar sunyi menjelang malam, malah kebanyakan peniaga termasuk saya terpaksa menutup operasi perniagaan lebih awal kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah,"katanya memberitahu terpaksa menutup operasi pada jam 5 petang setiap hari.

Menurutnya, disebabkan itu, perniagaannya merosot sedikit tapi tidak berani untuk mengambil risiko berniaga sehingga jam 9 malam seperti lima tahun dulu.

"Tapi kalau terminal baru ni dah beroperasi, bolehlah kita tutup lewat sikit sebab ada ramai orang, "katanya yang sudah 20 tahun berniaga di kawasan itu.

Selain itu, Zamri memberitahu, kelewatan terminal bas baharu ini beroperasi juga dilihat mengundang banyak masalah serta gejala sosial di kawasan tersebut.

"Waktu malam, keadaan di sini sangat gelap kerana tiada lampu dan ia mendorong segelintir pihak mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan maksiat.

"Akan ada kereta-kereta masuk ke kawasan parkir terminal tapi orangnya tak keluar-keluar dari kenderaan...Selain itu, banyak juga kes curi penutup longkang serta kabel cooper di terminal itu," katanya.

Pendapatan peniaga terjejas

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Mariam Kadir, 57 berkata, selepas stesen bas lama ditutup perniagaannya terjejas dan pendapatan diperoleh 'cukup-cukup makan' saja.

"Memang tak ada pelanggan sangat, harapkan penduduk di sini saja yang datang makan dan untung kita dapat pun lepas utuk bayar sewa premis saja.

"Kalau terminal baru dah beroperasi, mungkin perniagaan akan bertambah baik semula sebab lebih ramai yang akan datang, " katanya yang sudah lebih10 tahun berniaga di situ.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi semalam mendapati keadaan terminal bas baharu itu seolah-olah masih belum siap sepenuhnya.

Hanya terdapat kerusi-kerusi diletakkan, keadaan lantai kotor dan masih terdapat kerja-kerja yang masih belum siap sepenuhnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia