5,841 ayam hidup seludup dirampas

Batalion 9 PGA menahan tiga buah lori dan merampas 5,841 ekor ayam hidup dalam serbuan berasingan di Tumpat pada pagi Jumaat.
Batalion 9 PGA menahan tiga buah lori dan merampas 5,841 ekor ayam hidup dalam serbuan berasingan di Tumpat pada pagi Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan tiga buah lori dan merampas 5,841 ekor ayam hidup yang diseludup masuk secara haram ke negara ini dalam serbuan berasingan pada pagi Jumaat.

Rampasan ayam hidup bernilai RM157,707 itu dilakukan selepas PGA menahan lori tersebut di tiga lokasi berasingan iaitu Kampung Pisau Raut, Simpangan dan Kajang Sebidang.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM607,707.

"Kami tidak menolak kemungkinan ayam-ayam hidup yang diseludup masuk secara haram ke negara ini untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

"Bagaimanapun semua itu bergantung kepada permintaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011.

Mengulas lanjut, Nor Azizan berkata, rampasan itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh PGA di kawasan Kampung Pisau Raut sehingga ke Simpangan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan sejurus lori itu berjaya ditahan, kita telah menemui kotak-kotak raga yang mengandungi ayam hidup.

"Bagaimanapun pemandu lori itu gagal mengemukakan dokumen sah berkait dengan barangan yang dibawa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan memantau kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.

Katanya, PGA serius untuk membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

Pada 6 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1,980 ekor ayam hidup selepas menahan sebuah lori di Kampung Jubakar.