Fenomena air pasang besar mula landa empat negeri

Perkampungan nelayan di Bagan Hailam di Pelabuhan Klang dinaiki air sehingga mencecah paras 5.6 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
Perkampungan nelayan di Bagan Hailam di Pelabuhan Klang dinaiki air sehingga mencecah paras 5.6 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fenomena air pasang besar mula melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor sejak lewat malam Khamis menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk.

Situasi itu seperti dijangkakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Ahad lepas, yang memaklumkan air pasang besar dijangka berterusan di negeri terbabit selama empat hari bermula Khamis (4 November).

JPS turut memberi peringatan fenomena itu akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak selain berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai.

Sebahagian rumah di perkampungan nelayan di Bagan Hailam dinaiki air sehingga mencecah paras 5.6 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
Sebahagian rumah di perkampungan nelayan di Bagan Hailam dinaiki air sehingga mencecah paras 5.6 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama

Di KEDAH, beberapa kawasan di negeri itu khususnya di Kuala Kedah, mula dinaiki air sekitar jam 11.30 malam Khamis menyebabkan limpahan air ke penempatan penduduk dan kawasan pasar namun surut tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, fenomena air pasang besar dijangka paling tinggi pada jam 1.17 pagi Sabtu dan kawasan berisiko akan terus dipantau khususnya di Kuala Kedah, Yan, Jerlun serta Kuala Muda.

"Keadaan banjir yang sedang melanda negeri ini juga dijangka bertambah buruk khususnya bagi kawasan tepi dan muara sungai serta perpindahan mangsa banjir juga dijangka bertambah susulan air pasang besar sehingga Selasa depan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Fenomena air laut pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula semalam hingga 7 November di persisir pantai Negeri Selangor. - Foto Bernama
Fenomena air laut pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh empat hari bermula semalam hingga 7 November di persisir pantai Negeri Selangor. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama ke Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah tengah hari Jumaat mendapati kesan limpahan air masih kelihatan ekoran air pasang besar yang berlaku tengah malam Khamis, namun tidak menjejaskan penduduk khususnya peniaga di kawasan itu.

Seorang peniaga makanan kering Chempa Ladun, 41, berkata, limpahan air pasang besar tengah malam Khamis datang dengan perlahan sebelum surut tidak lama kemudian.

"Memang tiap-tiap tahun bila berlaku air pasang besar, air akan naik di kawasan pasar nelayan ini, kami pun dah bersedia awal, macam sekarang air naik tengah malam, tapi barang-barang di kedai sudah disimpan dan dibungkus elok," katanya.

Di PERAK, air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira jam 4.30 pagi Jumaat menyebabkan air melimpah sedalam 0.3 meter ke penempatan penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak, Teluk Intan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, 12 kawasan di sekitar daerah itu terjejas akibat fenomena berkenaan namun tiada mangsa dipindahkan manakala air mula surut pada jam 7 pagi Jumaat.

Lokasi terjejas ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabik, Ban Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Taman Desa Aman, Kampung Batak Rabik dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.

Kawasan rendah di persisir Sungai Alor Merah dinaiki air ketika tinjuan fenomena air pasang besar pada 3 November lepas. - Foto Bernama
Kawasan rendah di persisir Sungai Alor Merah dinaiki air ketika tinjuan fenomena air pasang besar pada 3 November lepas. - Foto Bernama

"Pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa memantau kawasan terlibat namun keadaan dikhuatiri menjadi buruk sekiranya berlaku hujan lebat dan ban pecah," katanya.

Di SELANGOR, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan dipantau secara bersepadu oleh beberapa Balai Bomba dan Penyelamat negeri bersama agensi bencana lain sejak jam 4.30 hingga 7.30 pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, lokasi pemantauan termasuk Jeti Pulau Ketam, Jeti Sementa, Jeti Sritama, Jeti Sri Tanjung, Jeti Sepakat, Jeti Sirip Biru, Pengkalan Nelayan Kampung Tok Muda Kapar, Pengkalan Sungai Keramat dan Kampung Ban Pecah.

Keadaan di kawasan Taman Tanjung Bendahara yang dinaiki air yang disebabkan limpahan air dari Sungai Kedah menjejaskan beberapa buah rumah sejak empat hari lalu ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
Keadaan di kawasan Taman Tanjung Bendahara yang dinaiki air yang disebabkan limpahan air dari Sungai Kedah menjejaskan beberapa buah rumah sejak empat hari lalu ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama

“Keadaan air pasang melebihi paras biasa namun keadaan terkawal, rumah penduduk tidak dinaiki air dan tiada pemindahan mangsa dilakukan serta air mula surut pada jam 7 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Di JOHOR, JBPM negeri akan menumpukan rondaan bagi fenomena itu di kawasan sepanjang pesisir pantai yang mempunyai penduduk di beberapa daerah antaranya Batu Pahat, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, arahan kepada seluruh Balai Bomba dan Penyelamat juga telah dikeluarkan bagi kesiapsiagaan dan rondaan sepanjang tempoh air pasang besar itu.

“Kesiapsiagaan ini merangkumi aspek kesiapsiagaan anggota dan aset-aset jabatan, terutamanya untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku kejadian banjir yang memerlukan pemindahan,” katanya. - Bernama