Tuan Ibrahim ketuai delegasi Malaysia ke Glasgow

Tuan Ibrahim - Foto Bernama
Tuan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) yang sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.

Beliau akan menyampaikan kenyataan negara pada 9 hingga 10 November.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Malaysia akan menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders' Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global.

"Kedua-dua ikrar dan deklarasi ini telah dilancarkan di UNFCCC COP-26. Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

"Penyertaan Malaysia bersama dengan 131 negara lain dalam deklarasi ini adalah selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia juga akan menyertai 103 negara lain dalam Ikrar Metana Global.

Matlamat ikrar itu adalah bagi mendapatkan komitmen dan persetujuan bersama untuk mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2020.

"Negara-negara yang menandatangani ikrar ini akan beralih kepada penggunaan metodologi inventori terbaik untuk mengukur pelepasan metana dengan memberi tumpuan kepada sumber utama pelepasan metana.

Artikel Berkaitan:

"Pelepasan gas metana menyumbang sebanyak 17 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah kaca negara (316.83 juta tan karbon dioksida setara) pada tahun 2016," kata kenyataan itu.

Kementerian Alam Sekitar dan Air akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan khususnya Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan tindakan inklusif dan holistik.

Menurut kenyataan itu, Malaysia sentiasa bersama dengan negara-negara ahli kepada Perjanjian Paris dalam usaha mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah celcius, meneruskan tindakan mitigasi untuk menghadkan suhu supaya tidak melebihi 1.5 darjah celcius serta mengurangkan kerentanan terhadap kesan perubahan iklim.