Lima negeri beralih Fasa Empat mulai Isnin ini: Hishammuddin

Hishammuddin. - Foto fail Bernama
Hishammuddin. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa 3 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 8 November ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi kelima-lima negeri selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP (Prosedur Operasi Standard) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” menurutnya dalam kenyataan mengenai peralihan fasa PPN dan kelonggaran SOP.

Hishammuddin berkata, berkuat kuasa 8 November ini juga, individu lengkap vaksin bagi semua peringkat umur dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan syarat ini dimasukkan dalam SOP.

Katanya, kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang belum/tidak lengkap vaksin masih tidak dibenarkan memasuki stadium termasuk semua fasiliti sukan dan ketika ini, aktiviti makan serta minum di dalam stadium juga adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Jumaat turut meluluskan pelaksanaan peralihan pengurusan Stesen Kuarantin Hotel kepada Stesen Kuarantin Swasta bermula tujuh hari selepas kelulusan.

Menurut Hishammuddin, pengurusan stesen kuarantin adalah berdasarkan Garis Panduan Pembukaan, Pengoperasian dan Pemantauan Stesen Kuarantin Swasta yang telah disediakan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kutipan kos operasi Covid-19 berjumlah RM2,600 bagi setiap pengembara bukan warganegara dimansuhkan manakala caj bagi stesen kuarantin masih berkuat kuasa dan caj yang dikenakan stesen kuarantin swasta adalah pada kadar yang sama (pakej standard) seperti sebelum ini yang berkuat kuasa pada 15 November 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kos kuarantin bagi tujuh kumpulan warganegara Malaysia yang dikecualikan caj kuarantin ditanggung oleh kerajaan dan ujian ulangan saringan pengesanan Covid-19 diselaraskan oleh KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri/Daerah yang berkaitan.

Hishammuddin turut menyeru agar semua kelonggaran yang diberikan dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Katanya paling penting dalam membantu usaha kerajaan #ReopeningSafely, semua pihak amat digalakkan untuk mengamalkan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera dengan sebaik mungkin demi keselamatan diri, ahli keluarga dan orang sekeliling. - Bernama