Maximus gesa naik taraf Jabatan Air di Kota Marudu

Maximus diberi taklimat oleh Jabatan Air Kota Marudu berhubung situasi semasa keadaan masalah bekalan air di daerah itu.
Maximus diberi taklimat oleh Jabatan Air Kota Marudu berhubung situasi semasa keadaan masalah bekalan air di daerah itu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggesa supaya Jabatan Air di Kota Marudu dinaik taraf bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi memenuhi permintaan di daerah itu.

Beliau berkata, ia susulan kekurangan tenaga kerja sebagai punca utama pengurusan air di daerah itu berada ditahap yang kurang memuaskan.

"Saya diberitahu hanya terdapat satu pertiga tenaga kerja di Jabatan Air Kota Marudu, iaitu daripada 150 kakitangan yang diperlukan, hanya 44 orang ditempatkan untuk mengurus dan memberi perkhidmatan kepada 75,169 pengguna di sini menerusi Loji Rawatan Air Bandau, Simpangan dan Kampung Gana.

"Sudah tiba masanya untuk menaik taraf operasi pejabat bagi menghentikan aduan mengenai gangguan dan bekalan air di Kota Marudu kerana realitinya, masalah kekurangan dan gangguan air menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di daerah ini," katanya selepas diberi taklimat oleh Jabatan Air dan Jabatan Pembetungan Kota Marudu, di sini, pada Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Kota Marudu itu lagi, beberapa masalah lain turut dikesan menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di kawasannya dan daerah lain.

"Ini termasuk berpunca daripada paip pecah, rosak dan lama serta mesin yang rosak. Situasi di Kota Marudu sama seperti yang berlaku di daerah lain, iaitu masalah air kurang diberi keutamaan.

"Banyak daerah mengalami masalah yang sama dan orang ramai terpaksa minum air tidak berkualiti. Sudah tiba masanya untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan, selaras dengan slogan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor iaitu Sabah Maju Jaya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa projek menaik taraf telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan penduduk di daerah ini dapat menikmati bekalan air yang mencukupi dan bersih pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan: