'Syukur selepas lama tak operasi, perniagaan 'hidup' semula'

Majlis akad nikah boleh diadakan di dewan berkuat kuasa hari ini. (Gambar kecil: Nurlela)
Majlis akad nikah boleh diadakan di dewan berkuat kuasa hari ini. (Gambar kecil: Nurlela)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kebenaran majlis akad nikah diadakan dalam dewan selain pejabat agama serta masjid dimanfaatkan sebaiknya oleh pengusaha dewan perkahwinan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pemilik Dewan Mahar Cinta, Mohd Hazli Hisham Abdul Samat berkata, perkembangan positif itu menunjukkan sektor perkhidmatan tersebut kini beransur pulih selepas terjejas susulan penutupan operasi disebabkan penularan Covid-19.

Menurutnya, peralihan Wilayah Persekutuan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 18 Oktober lalu telah membolehkan majlis sosial termasuk resepsi perkahwinan diadakan dengan kehadiran pengunjung adalah 50 peratus daripada kapasiti dewan.

"Apabila Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) benarkan majlis akad nikad diadakan di dewan, boleh dikatakan operasi sewaan majlis perkahwinan hampir kembali beroperasi sepenuhnya.

"Kebanyakan pasangan memilih untuk menikah di dewan disusuli majlis resepsi. Ini memudahkan pasangan pengantin serta keluarga mengatur majlis di satu tempat sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jawi pada Khamis mengumumkan peluasan kebenaran majlis akad nikah diadakan di dewan bagi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Majlis boleh diadakan di premis sewaan dengan kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan, menjaga penjarakan fizikal dan ditetapkan kepada individu lengkap vaksin.

Mohd Hazli mengingatkan, pengusaha premis mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelak sektor perniagaan itu terjejas sekiranya SOP kembali diperketatkan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah selepas lama tidak beroperasi akhirnya perniagaan hidup semula. Harapan saya supaya tiada lagi penutupan operasi dewan perkahwinan selepas ini dan biarlah terus beroperasi sampai bila-bila.

"Semua pengusaha perlu menjaga periuk nasi, jaga SOP. Jika tular isu langgar SOP, bukan hanya beri kesan kepada satu pihak sebaliknya pengusaha lain turut terkena tempias," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Rumah Tamu Datin Halijah, Nurlela Abd Latiff turut meluahkan kelegaan dengan perluasan kebenaran majlis akad nikah diadakan di dewan.

Katanya, Rumah Tamu Datin Halijah telah membuat persiapan rapi menerima tempahan dewan yang kembali rancak bulan ini tanpa mengabaikan SOP.

"Kami akan berikan peringatan kepada tetamu untuk menjaga SOP dari masa ke semasa dan mendapatkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal pematuhan pengunjung, mengelak berlaku kesesakan pada satu-satu masa.

"Alhamdulillah, kami dapat bernafas semula selepas hanya beberapa bulan dapat beroperasi tahun ini. Syukur akhirnya boleh beroperasi kembali," katanya.