Kes baharu Covid-19 catat penurunan kepada 4,922

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan pada Jumaat dengan 4,922 kes berbanding 5,713 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 2,497,265 kes.

“Daripada 4,922 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 80 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Baki 4,842 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes harian itu, 10 kes merupakan kes import yang melibatkan tujuh warganegara dan tiga bukan warganegara.

Beliau berkata, kes tempatan pula melibatkan 4,912 kes iaitu 4,690 warganegara (95.5 peratus) dan 222 bukan warganegara (4.5 peratus).

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah 549 kes dengan 529 daripadanya disahkan Covid-19 manakala 20 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 282 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 214 kes daripadanya disahkan Covid-19 manakala 68 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, sebanyak 5,579 kes sembuh pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 2,401,823.