BDB buka peluang anak Kedah cipta logo, nama khas

Pertandingan mencipta logo dan nama khas "Langkawi Designer Premium Outlet" menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM10,000. (Gambar kanan: Faris Najhan)
Pertandingan mencipta logo dan nama khas "Langkawi Designer Premium Outlet" menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM10,000. (Gambar kanan: Faris Najhan)
A
A
A

ALOR SETAR – Rakyat Kedah berpeluang menyertai pertandingan mencipta logo dan nama khas 'Langkawi Designer Premium Outlet' yang akan dibangunkan oleh BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, BDBMBI merupakan syarikat usahasama di antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Beliau berkata, penganjuran pertandingan mencipta logo dan nama khas 'Langkawi Designer Premium Outlet' itu akan bermula pada 7 hingga 21 November serta terbuka kepada seluruh rakyat Kedah.

"Pertandingan mencipta logo dan nama khas 'Langkawi Designer Premium Outlet' ini adalah salah satu inisiatif syarikat untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat negeri ini untuk terlibat secara langsung dengan projek yang buat julung kalinya dibangunkan di Langkawi.

"Projek ini akan memberi satu dimensi baharu kepada produk pelancongan di Langkawi yang sudah pastinya akan lebih menarik sekiranya ia mendapat sentuhan anak tempatan di dalam penciptaan logo dan juga nama khas kepada produk berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Faris Najhan berkata, peserta mestilah terdiri daripada anak jati yang lahir di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas dan perlu mencipta logo dan nama dalam Bahasa Inggeris.

"Logo terbabit tidak boleh mengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan menyinggung mana-mana pihak.

"Selain itu, para peserta juga perlu memastikan logo yang dicipta adalah tulen dan asli serta tidak diciplak daripada mana-mana logo tempatan mahupun luar negara," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap penyertaan hendaklah mematuhi garis panduan pertandingan yang telah ditetapkan serta boleh dirujuk di laman web www.bdb.com.my/pertandingan-reka-cipta-nama-logo.

"Kita mengalu-alukan penyertaan daripada semua anak jati Kedah yang mana mereka berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000," katanya.

Dalam perkembangan sama, Faris Najhan berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 16.58 hektar di Padang Matsirat bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Projek ini meliputi outlet premium, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.

"Pembangunan fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ yang menempatkan outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau 'fine-dining’ serta ‘coffee house’.

"Fasa 2 pula akan melibatkan pembangunan outlet premium di atas kawasan seluas 11.74 hektar yang menawarkan lebih banyak jenama premium antarabangsa pada harga yang kompetitif," katanya.