Polis siasat dakwaan agihan makanan berserta wang RM50

Tular gambar yang memaparkan beberapa bungkusan makanan di atas meja yang dikaitkan dengan PRN Melaka.
Tular gambar yang memaparkan beberapa bungkusan makanan di atas meja yang dikaitkan dengan PRN Melaka.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka membuka satu kertas siasatan membabitkan dakwaan yang tular di media sosial berhubung bungkusan makanan diselitkan wang tunai RM50 yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisoner Azlan Abu berkata, pihaknya mendapati gambar tular itu menyatakan kejadian terbabit berlaku di negeri ini selain terdapat komen-komen yang memaklumkan bahawa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung gambar tersebut yang didakwa berlaku di Melaka.

"Susulan itu polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Hasil semakan polis mendapati terdapat sebuah video berhubung kejadian itu yang menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas, namun tidak ada sebarang lambang parti atau elemen parti politik," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejak 25 Oktober lalu sehingga Khamis, pihaknya telah membuka 16 kertas siasatan dan mengeluarkan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan PRN.

Sejak Khamis, tular gambar dan video beberapa bungkusan makanan polisterin yang turut diselitkan wang tunai RM50 sebelum diambil beberapa individu warga emas yang beratur bagi mendapatkannya.

Artikel Berkaitan: