PRN Sarawak: GPS bincang pembahagian kerusi antara komponen

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan senarai calon pakatan itu dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

“Tunggu dulu, kita baru sahaja bubarkan (Dewan Undangan Negeri) jangan terburu-buru,” katanya ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Rabu lepas, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Penamatan Proklamasi Darurat itu memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12 setelah tempoh mandat kerajaan negeri tamat 6 Jun lepas.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan GPS ketika ini akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Artikel Berkaitan:

“Ya ini adalah peralihan biasa apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) dibubarkan, kerajaan yang memerintah menjadi kerajaan sementara.

“Buat masa ini kita tidak boleh membuat keputusan yang besar. Meskipun dalam darurat kita tidak boleh membuat keputusan besar cuma mentadbir seperti biasa,” katanya. - Bernama