X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

PRN Sarawak ketika pandemik, ini keputusan sukar: Abang Johari

Keputusan untuk melaksanakan PRN Sarawak Ke-12 ketika tempoh pandemik adalah satu keputusan yang sukar bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Foto Astro Awani
A
A

KUCHING - Keputusan untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ketika tempoh pandemik adalah satu keputusan yang sukar bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, situasi unik ini berlaku julung kalinya di dalam sejarah Sarawak di mana Kerajaan Negeri perlu mendapatkan mandat baharu dalam masa yang sama mentadbir dan melaksanakan strategi menangani wabak.

“Sudah tentu (sukar).. kita perlu melibatkan semua pihak.

“Kesihatan orang ramai juga penting dan pada masa yang sama kita mesti mengamalkan proses demokrasi kita supaya apabila kita membuat keputusan, kita dapatkan input daripada semua pihak berkepentingan seperti yang saya katakan tadi,” katanya semasa Sidang Media Khas di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.

Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi Kerajaan Interim di mana ia adalah transisi biasa yang berlaku sebelum Kerajaan baharu terbentuk.

“(Sebagai Kerajaan Interim), kita tidak boleh membuat apa-apa keputusan besar sebab itulah mandat perlu dikembalikan kepada rakyat.

“Walaupun semasa Darurat tanpa sebarang mandat, kita tidak boleh membuat apa-apa keputusan besar kita hanya mentadbir negara sebagaimana adanya.

“Kerana apa yang penting kita mahu pulih daripada pandemik. Jadi apabila kita mendapat mandat maka barulah kita boleh memulakan pelaksanaan dasar kita,” jelasnya lagi.

Antara lain, Abang Jo turut memberitahu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar akan memaklumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubarannya sebagai prosedur.

“Sebabnya (DUN) dah terbubar berkuat kuasa 3 November lalu kerana ini adalah situasi unik di mana Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat Proklamasi Darurat dan secara automatik ia terbubar. Tapi untuk mematuhi prosedur, Speaker kita akan maklumkan kepada SPR juga,” katanya. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!