Pahang lulus inisiatif sempadan hijau negeri

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan cadangan inisiatif sempadan hijau negeri melibatkan sempadan Pahang dengan negeri-negeri berjiran seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada Rabu lalu.

Menurutnya, ia sebagai satu usaha menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Susulan daripada titah itu, kerajaan Pahang akan mewartakan tanah kerajaan yang telah dikenal pasti di kawasan sempadan berkenaan sepanjang kira-kira 26.806 kilometer dan berkeluasan 557.585 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Pewartaan ini, mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984. Menerusi pewartaan ini, kerajaan Pahang akan menolak semua permohonan tanah kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pewartaan HSK terbaharu ini adalah tambahan kepada HSK sedia ada yang terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri berkenaan.

Jelasnya, bagi tanah milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri.

"Pembangunan hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang telah menetapkan bahawa Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri akan menyelaraskan syarat-syarat khas dengan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara yang sudah diputuskan itu.

Kata Wan Rosdy, pihaknya berharap agar kawasan sempadan Pahang dengan negeri-negeri terlibat, akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya.