X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Bomba selamat wanita kejang kaki ketika mendaki

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada wanita berusia 26 tahun yang mengalami kekejangan kaki sebelum berjaya dibawa turun dari Gunung Nuang sekitar jam 1 pagi pada Jumaat.
A
A

HULU LANGAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang wanita yang mengalami kekejangan otot kaki sewaktu melakukan aktiviti mendaki di Gunung Nuang, di sini, pada Jumaat.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 petang, Khamis dan sekumpulan anggota telah digegaskan ke lokasi bagi melakukan tugas menyelamat.

Katanya, menerusi laporan awal diterima, sekumpulan pendaki terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita sedang melakukan aktiviti di gunung itu sebelum salah seorang daripada mereka dilaporkan tidak dapat berjalan akibat kepenatan.

"Salah seorang peserta wanita berusia 26 tahun mengalami kekejangan otot kaki dan tidak dapat berjalan akibat kepenatan mendaki.

"Rakan-rakannya berusaha membantu mangsa untuk turun semampu yang boleh sehingga ke Kem Lolo di sini," kata kenyataan itu, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, PGO JBPM Selangor berkata, pasukan penyelamat juga turut bergegas ke Kem Lolo dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membawa turun mangsa terlibat.

Katanya, rawatan awal telah diberikan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

"Mangsa telah berjaya dibawa turun sekitar jam 1 pagi pada Jumaat dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!