Penternak akuakultur perlu bersedia hadapi musim tengkujuh

Penternak akuakultur di Pahang diminta membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang kemungkinan. (Gambar: Ihsan Jabatan Perikanan Pahang), gambar kecil: Abdullah
Penternak akuakultur di Pahang diminta membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang kemungkinan. (Gambar: Ihsan Jabatan Perikanan Pahang), gambar kecil: Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Penternak akuakultur di seluruh Pahang dinasihatkan supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, ini bagi mengelak sebarang kerugian, sekiranya berlakunya peningkatan air sungai disebabkan banjir.

Menurutnya, antara langkah perlu diambil penternak dengan menjual ikan yang sudah mencapai saiz pasaran dan mengosongkan sangkar.

"Kita minta penternak memantau projek ternakan mereka dengan lebih kerap agar tindakan segera boleh diambil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Penternak juga perlu memeriksa struktur binaan sangkar termasuk ikatan, bagi mengelak dihanyutkan arus deras air sungai terutama apabila banjir besar berlaku.

"Kalau boleh kita minta, penternak mengikat sangkar menggunakan kabel dan tali berkualiti tinggi yang tidak mudah putus. Ikat pada pokok besar di tepi sungai,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau juga meminta agar penternak sentiasa berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat mengetahui situasi semasa.

Jelasnya, mereka juga perlu memantau jadual keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan jadual keadaan cuaca ini penting bagi memastikan penternak bersedia dengan sebarang kemungkinan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, nelayan pantai tidak digalakkan untuk turun ke laut sepanjang musim tengkujuh.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang musim tengkujuh ini boleh mendatangkan bahaya terutama kepada nelayan pantai yang menggunakan bot bersaiz kecil,” katanya.

Habis