Cara Erdogan berjalan cetus spekulasi tentang kesihatannya

RECEP TAYYIP ERDOGAN - Foto AFP
RECEP TAYYIP ERDOGAN - Foto AFP
A
A
A

ROM - Gaya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berjalan mencetuskan spekulasi tentang keadaan kesihatannya selepas tersebarnya video di media online yang menunjukkan beliau berjalan pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Rome, Itali pada Ahad lalu.

Menurut sebuah media Barat pada Khamis, pemimpin tersebut dilihat berjalan dalam keadaan tidak stabil sekali gus mencetuskan spekulasi tentang keadaan kesihatannya yang sedang merosot.

Media Barat itu mendakwa menerusi rakaman video itu, Erdogan, 67, dilihat berjalan dalam keadaan tidak stabil selepas sesi bergambar sebelum beberapa pengawal bergegas mengalihkan halangan bertali bagi memberi laluan kepadanya.

Bagaimanapun, seorang jurucakap Erdogan, Fahrettin Altun bertindak menafikan khabar angin tentang kesihatan Presiden Turki pada Rabu lalu apabila beliau menyiarkan satu rakaman video yang menunjukkan pemimpin negaranya itu berjalan secara normal pada satu majlis di Ankara, Turki.

Sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa Erdogan sudah meninggal dunia kerana tidak menghadiri majlis Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Terdapat juga khabar angin sebelum ini yang mendakwa Erdogan menghidap kanser yang kemudian dinafikannya setelah beliau menjalani pembedahan pada usus kecilnya pada tahun 2011 dan 2012.

Beliau menjadi Perdana Menteri di negaranya pada tahun 2003 sebelum menjadi Presiden pada tahun 2014 sehingga kini. - Agensi

Artikel Berkaitan: