PRN Sarawak dijangka pertengahan Disember atau lebih awal

Penamatan proklamasi darurat di Sarawak memberi laluan kepada pembubaran DUN Sarawak.
Penamatan proklamasi darurat di Sarawak memberi laluan kepada pembubaran DUN Sarawak.
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan Disember atau lebih awal berikutan proklamasi darurat di Sarawak ditamatkan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee berkata, beliau menjangkakan PRN12 Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Disember ini.

Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya proklamasi darurat di Sarawak ditamatkan memberi laluan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus menamatkan penantian untuk PRN12 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembatalan proklamasi darurat di negeri tersebut iaitu pada 3 November 2021.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 menetapkan bahawa DUN hendaklah terbubar pada tarikh proklamasi darurat dibatalkan atau diungkaikan.

Justeru, katanya, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR.

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertekad menambah jumlah kerusi yang dimenangi mereka pada PRN12.

Naib Presiden PBB, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong menamatkan proklamasi darurat di Sarawak pada Rabu, bermakna Sarawak wajib untuk mengadakan PRN12 dalam tempoh 60 hari selepas pewartaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak kini berstatus kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ susulan penarikan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada Rabu.

Jelas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, status itu bagaimanapun hanya menunggu pengumuman rasmi oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.