Elak bercuti di lokasi risiko pada musim tengkujuh

Orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia. - Foto Bernama
Orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia. - Foto Bernama
A
A
A

MUSIM tengkujuh dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Fenomena air pasang besar pula dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

Justeru, orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia.

Beberapa negeri ketika ini sudah pun berdepan bencana banjir. Di Kedah, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan sehingga semalam, namun di Melaka dan Perlis, keadaan banjir semakin pulih. Selangor, Negeri Sembilan dan Perak juga berdepan banjir baru-baru ini.

Kemalangan tanpa mengira cara, sebab dan lokasi boleh berlaku pada bila-bila masa jika seseorang terlupa untuk mengambil langkah-langkah penjagaan asas.

Cara terbaik untuk mengelak lokasi berbahaya adalah dengan tidak berada di kawasan terdedah bahaya.

Secara logiknya, lokasi-lokasi akuatik seperti air terjun, sungai, paya, lombong, terusan, kolam, tasik, paya dan laut perlulah dielakkan, lebih-lebih lagi jika membawa anak kecil.

Artikel Berkaitan:

Tangguhkan dahulu jika merancang bercuti di lokasi-lokasi berisiko.

Namun, semakin kerap dinasihati dan diingatkan, masih ada lagi kejadian melibatkan korban jiwa di tempat-tempat berkenaan dilaporkan media massa saban tahun.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar tidak mengambil risiko meredah jalan yang banjir untuk meneruskan perjalanan. Fikirkan keselamatan diri kerana aliran air deras boleh mengundang padah.

Ambillah iktibar dan pengajaran. Malang tidak berbau. Semoga kita semua terhindar daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.