Jangan ‘tekan’ Tze Yong

Tze Yong tampil cemerlang dalam berapa kejohanan yang disertainya tahun ini.
Tze Yong tampil cemerlang dalam berapa kejohanan yang disertainya tahun ini.
A
A
A

PEMINAT badminton tanah air diharap tidak terlalu memberi tekanan tinggi kepada pemain perseorangan muda negara, Ng Tze Yong susulan prestasi cemerlang yang ditampilkannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Perkara itu disuarakan bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim yang mengharapkan ruang secukupnya diberikan kepada Tze Yong untuk terus berkembang dan meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

“Meskipun sebelum ini Datuk Lee Chong Wei melabelkan Tze Yong sebagai penggantinya, saya harap peminat jangan bagi tekanan yang tinggi kepadanya.

“Kita bagi dia selesa dan enjoy dulu. Sebab kita tahu tekanan yang terlalu tinggi akan beri kesan besar kepada pemain, lagi-lagi dia masih muda,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebelum ini, Chong Wei melabelkan Tze Yong sebagai penggantinya selepas mempamerkan aksi menarik ketika menentang pemain ketujuh dunia dari Indonesia, Jonatan Christie pada aksi suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark bulan lalu.

Dalam pada itu, Roslin berkata, Tze Yong perlu meningkatkan prestasinya untuk memberi cabaran kepada barisan pemain lawan pada kejohanan yang disertainya selepas ini.

“Saya harap Tze Yong dapat melipat gandakan usaha berbanding yang dilakukan sebelum ini. Sebab dia perlu tahu ramai di luar sana kini sedang memerhati dan cuba kaji cara permainan untuk mengalahkanya.

“Jadi semua pihak khususnya barisan kejurulatihan negara kena memainkan peranan kalau nak lihat dia menjadi bintang dunia. Sebab kalau dia kekal dengan cara sama, gaya permainan sama, dia tidak akan berubah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Tze Yong berjaya merangkul tiga gelaran dalam kariernya sejak tahun 2019 dengan terbaharu, dia muncul juara Cabaran Antarabangsa Belgium minggu lalu.

Sebelum itu, pemain kelahiran Johor berusia 21 tahun berkenan muncul juara Terbuka Poland pada Mac lalu dan Kejohanan Antarabangsa Australia Selatan 2019.

Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Tze Yong kini berada di kedudukan 68 dunia yang mana banyak dibantu dengan kejayaannya merangkul dua gelaran pada tahun ini.