Saarani dikurnia gelaran Datuk Seri

Dari kiri: Saarani, Azmir Shah,Dr Mohd Suhaimi, Anuar
Dari kiri: Saarani, Azmir Shah,Dr Mohd Suhaimi, Anuar
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mendahului senarai 192 penerima darjah kebesaran dan pingat-pingat sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Saarani, 60, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 pada 10 Disember tahun lalu dikurniakan Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk adalah Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 13 tokoh dan individu.

Mereka adalah Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak,Nor Sham Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman; Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr PN Jeyaseelan; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Abd Halim Ashaari.

Turut menerima ialah Pengarah Kastam Negeri Perak, Dr Mohamad Saprin; Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya, Profesor Dr Goh Khean Jin; Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop; Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Profesor Dr Khalid Ismail dan Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Toh Jana Pahlawan Senior Asisten Komisioner (B) Abu Bakar Romlee.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman mengetuai senarai empat penerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Artikel Berkaitan:

Penerima lain ialah Panglima Wilayah Laut 2 Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan TLDM Sandakan, Laksamana Muda Rusli Ahmad; Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Felix Gonsalvez Alexander dan Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brigedier Jeneral Dr Musa Kasmin.

Baginda turut mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 23 penerima dan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada lapan penerima.

Selain itu, seramai 44 individu menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 47 individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dianugerahkan kepada 33 penerima dan sembilan individu lagi menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin (kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin (kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Zahidi Zainuddin berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak bagi siri pertama yang melibatkan pengurniaan gelaran Datuk Seri, Datuk Seri Panglima, Datuk dan Datuk Pahlawan akan diadakan.di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada 14 November ini.

Katanya, istiadat pengurniaan darjah kebesaran bagi siri pertama itu melibatkan 19 penerima bagi tahun 2020 dan 19 lagi penerima pada tahun ini.

"Istiadat pengurniaan bagi siri yang seterusnya akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan baginda tertakhluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19 di negeri Perak," katanya.

Bercakap kepada pemberita beliau berkata, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat tahun ini agak terhad dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan sahaja telah diperkenankan oleh baginda Sultan untuk menerima pengurniaan.

Menurutnya, pengurniaan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini adalah tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga berjuang mengekang penularan wabak Covid-19.

"Pengurniaan ini diharapkan akan dapat menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan dalam usaha memastikan keselamatan rakyat negeri ini daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Berpandukan ketetapan Dewan Negara Perak, sambutan rasmi Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak ditetapkan pada setiap Jumaat pertama bagi bulan November setiap tahun dan tahun ini pada 5 November.

Sambutan tahun ini dimulakan dengan penganjuran majlis kesyukuran bacaan surah Yasin dan doa selamat yang diadakan di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat.

Majlis sama turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.

Rakyat Perak adalah diseru bersama-sama meraikan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.