Bas ekspres di Sarawak dibenar beroperasi kapasiti penuh

Perkhidmatan bas ekspres dan bas berhenti-henti di Sarawak dibenar beroperasi pada kapasiti 100 peratus tempat duduk penumpang mulai Jumaat. Gambar hiasan
Perkhidmatan bas ekspres dan bas berhenti-henti di Sarawak dibenar beroperasi pada kapasiti 100 peratus tempat duduk penumpang mulai Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Perkhidmatan bas ekspres dan bas berhenti-henti di Sarawak dibenar beroperasi pada kapasiti 100 peratus tempat duduk penumpang mulai Jumaat, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN Sarawak dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan saranan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) setelah mengambil kira kadar vaksinasi Covid-19 yang tinggi dan menyeluruh di negeri ini.

“Pengusaha syarikat bas ekspres dan bas berhenti-henti serta penumpang juga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBNS seperti penggunaan pelitup muka, imbas suhu dan Kod QR MySejahtera,” menurut JPBN.

Selain itu, JPBN memaklumkan hanya 11 daripada 527 kes positif Covid-19 baharu yang dilaporkan di Sarawak pada Rabu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Baki 516 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan. Pertambahan kes hari ini (Rabu) juga menjadikan kumulatif kes positif di Sarawak kini 243,119,” menurut JPBN.

Selain itu, 19 kematian akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak dari 6 Oktober sehingga 2 November manakala jumlah kluster yang aktif sebanyak 27. - Bernama

Artikel Berkaitan: