PBT, ahli majlis ada kuasa larang jual arak kepada umat Islam

PBT dan ahli majlis di setiap negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan penjualan minuman beralkohol kepada umat Islam di negara ini.Gambar hiasan
PBT dan ahli majlis di setiap negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan penjualan minuman beralkohol kepada umat Islam di negara ini.Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT GANTANG - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli majlis di setiap negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan penjualan minuman beralkohol kepada umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, larangan berkenaan boleh dikuatkuasakan atas kebijaksanaan PBT dan ahli majlis, kerana mereka mempunyai satu bidang kuasa untuk mengenakan peraturan itu dalam kalangan umat Islam di kawasan masing-masing.

“Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengenakan peraturan memperketatkan penjualan minuman keras terutama kepada umat Islam.

“Terpulang kepada PBT dan ahli majlis, dan kita harap peraturan itu merupakan satu permulaan bagi melarang penjualan arak secara terbuka kepada umat Islam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Musa’adah Banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Kerang dekat sini pada Rabu.

Seramai 127 orang menerima bantuan itu membabitkan 79 penerima di Terong dan 48 penerima di Sungai Kerang.

Idris berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan Majlis Daerah Selama (MDS) Perak, yang tidak membenarkan penjualan arak secara runcit bermula tahun depan.

Mohd Akmal dilaporkan berkata, perkara itu telah diputuskan oleh MDS selaku pihak pentadbiran tempatan.

Idris berkata, ia turut boleh dilihat dengan beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang telah lama menguatkuasakan larangan penjualan arak kepada umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai penukaran nama jenama arak Timah, beliau berkata, bidang kuasa itu terletak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk melakukan pemantauan.

“KPDNHEP yang akan putuskan penukaran jenama itu dan akan menguruskannya yang mana ia di bawah kendalian mereka,” katanya.

Sebelum ini, isu arak mengguna pakai jenama ‘Timah’ menimbulkan kontroversi kerana didakwa tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini, sejak dilancarkan pada awal bulan lepas. - Bernama