X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Pengunjung pantai, penduduk waspada fenomena air pasang besar

Anggota APM membuat pemantauan air pasang besar di sekitar Daerah Kuala Muda.
A
A

YAN - Pengunjung dan penduduk berdekatan pantai di sekitar Daerah Yan sentiasa prihatin dan waspada terhadap amaran fenomena air pasang besar yang dijangka bermula dari 4 hingga 7 November ini.

Seorang peniaga di Pantai Murni, Nor Azizan Jaafar, 55, berkata, dia sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan fenomena alam yang biasa berlaku akibat perubahan Monson Timur Laut itu sambil memantau situasi semasa.

"Sejak berniaga di sini, air pasang besar pernah berlaku hingga mencecah ketinggian 0.5 meter. Saya sekarang ini sentiasa berjaga-jaga,"katanya.

Seorang pengunjung dari daerah Kota Setar, Zaiton Bakar, 50, berkata, dia dan keluarga mengambil kesempatan sempena cuti perayaan Deepavali membawa keluarga berkunjung ke Pantai Murni walaupun bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Kami tahu ramalan berlakunya fenomena air pasang namun tetap berkunjung ke sini dengan mengamalkan langkah keselamatan yang ketat. Kami sentiasa waspada," katanya.

Sementara itu, di Daerah Kuala Muda, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati tiada peningkatan air pasang besar berlaku antara jam 11.15 malam hingga 1.30 pagi pada Khamis.

Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pemantauan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kampung Padang Salim, Hujung Matang, Paya, Sungai Yu dan Bukit Meriam, Kota Kuala Muda dan keadaan masih terkawal.

Menurutnya, bacaan ketinggian air mencecah 1.58 meter berbanding bacaan ramalan 2.9 meter.

"Kami turut membuat pemantauan di Tanjung Dawai dan mendapati bacaan air meningkat sehingga 1.68 meter berbanding ramalan 2.9 meter," katanya.

Menurutnya, walaupun tiada limpahan air pasang setakat ini, namun, pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan perubahan cuaca selain terus memantau lokasi berisiko.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!