Polis tahan lelaki miliki mercun, bunga api bernilai RM80,000

Mercun dan bunga api dirampas di sebuah rumah di Bukit Rotan di Kuala Selangor pada Rabu.
Mercun dan bunga api dirampas di sebuah rumah di Bukit Rotan di Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki ditahan kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM80,000 di sebuah rumah di Bukit Rotan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang oleh sepasukan polis diketuai Inspektor Zuhaimi Azaha.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 66 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis di bahagian dapur rumah berkenaan.

"Suspek yang tinggal di rumah tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran menyimpan mercun dan bunga api," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ramli berkata, kesemua mercun dan bunga api pelbagai jenis itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut kemungkinan mercun dan bunga api itu adalah untuk bekalan perayaan Deepavali.

"Setakat ini, suspek hanya mengaku barang tersebut adalah miliknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (ABL) 1957," kata beliau.

Artikel Berkaitan: