799 penagih dadah baharu direkodkan AADK Melaka

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong menunjukkan jarum suntikan yang ditemui dalam keadaan bersepah di belakang sebuah bangunan di Jalan Ong Kim Wee.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong menunjukkan jarum suntikan yang ditemui dalam keadaan bersepah di belakang sebuah bangunan di Jalan Ong Kim Wee.
A
A
A

MELAKA - Seramai 799 penagih baharu direkodkan di negeri ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sepanjang tempoh dua tahun sejak Februari 2017 lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, jumlah keseluruhan penagih dadah direkodkan AADK dalam tempoh itu adalah seramai 1,140 sekali gus menjadikan angka tersebut agak tinggi dan membimbangkan.

"Daerah Alor Gajah merekodkan jumlah tertinggi dengan 464 orang, diikuti Melaka Tengah 418 dan Jasin dengan 258.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 341 adalah kes penagih berulang," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan bersama Timbalan Pengarah AADK Melaka, A Reuben, di tapak penagihan dadah di Jalan Ong Kim Wee, di sini, hari ini.

Sementara itu, Reuben berkata, Bandaraya Melaka antara tujuh kawasan yang tersenarai dalam program Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

"Lokasi ini, kita ada terima aduan tapi semasa risikan diadakan, penguatkuasa AADK mendapati hanya aktiviti menghidu gam, tapi hari ini kita tengok, ada puluhan jarum terpakai.

"AADK akan terus menggempur mana-mana lokasi dipercayai menjadi sarang penagihan bagi memastikan masyarakat tidak sesekali terbabit dengan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan: