Johor benarkan akad nikah di 91 masjid, 14 surau

Johor membenarkan majlis akad nikah diadakan di 91 masjid dan 14 buah surau di negeri itu bermula 7 November ini.
Johor membenarkan majlis akad nikah diadakan di 91 masjid dan 14 buah surau di negeri itu bermula 7 November ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan majlis akad nikah diadakan di 91 masjid dan 14 buah surau di Johor bermula 7 November ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran tersebut melibatkan masjid dan surau yang mempunyai dewan sendiri.

Jelas beliau, tujuannya untuk menjaga dan menghidupkan syiar dan syariah Islam di seluruh negeri ini.

"Selain dewan masjid dan surau terpilih, beberapa lokasi lain dibenarkan untuk diadakan majlis akad nikah iaitu di pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Pejabat Kadi Daerah serta dewan dan balai raya.

"Pelaksanaan majlis akad nikah tersebut perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tosrin
Tosrin

Beliau berkata, pekeliling berkenaan penganjuran majlis tersebut akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Tosrin berkata, program membudayakan al-Quran, kuliah Maulidur Rasul, kuliah umum, kuliah khas, kuliah duha, kuliah zohor dan kuliah Jumaat dibenarkan bermula Khamis yang dihadkan selama satu jam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aktiviti lain turut dibenarkan termasuk majlis zikir, selawat, program wirid dan tarikat.

"Selain itu, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong pembersihan kawasan masjid dan surau dibenarkan, manakala aktiviti bermalam masih ditangguhkan," ujarnya.

Tambah Tosrin, kehadiran penceramah, ahli masjid atau surau serta jemaah adalah tertakluk kepada mereka yang telah lengkap menerima dos suntikan vaksin Covid-19 sahaja.

"Namun kelonggaran diberi kepada individu yang mempunyai surat perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.