PRN Sarawak: GPS tekad menang lebih banyak kerusi

GPS
GPS
A
A
A

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertekad menambah jumlah kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong menamatkan proklamasi darurat di Sarawak pada Rabu, bermakna Sarawak wajib untuk mengadakan PRN12 dalam tempoh 60 hari selepas pewartaan.

Dr Rundi yang juga Menteri Utiliti Sarawak berkata, GPS telah pun menggerakkan jentera pilihan rayanya dan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan PRN12.

"GPS memberi fokus untuk mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRN11 lepas, malah kami yakin untuk memenangi lebih kerusi pada pilihan raya kali ini,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambahnya, GPS sudah bersedia berdepan saingan pembangkang dalam PRN12 nanti dengan tekad untuk memacu Sarawak menjadi negeri maju seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Menjelang 2030.

Pada PRN11 tahun 2016, gabungan empat parti tempatan itu yang masih bernaung di bawah Barisan Nasional (BN) ketika itu telah memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sebelum mengambil keputusan untuk keluar daripada BN dan menubuhkan GPS pada 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: