X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Curi tong sampah: MPS buat laporan polis

Gambar CCTV menunjukkan tong sampah dicuri individu tidak bertanggungjawab pada Isnin lalu.
A
A

SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah membuat laporan polis berhubung kejadian seorang individu mencuri tong sampah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di Taman Desa Jaya, Kepong di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, kejadian jam 7 malam itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, pihaknya amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"MPS telah membuat laporan polis dan menyerahkan rakaman CCTV tersebut untuk tindakan seterusnya," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Zin berkata, MPS telah membelanjakan sebanyak RM130,000 menggantikan tong sampah awam yang telah rosak akibat vandalisme dan juga hilang akibat dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang tahun ini.

Justeru, tegas beliau, MPS akan terus melakukan pemantauan terhadap aktiviti kecurian dan vandalisme serta tindakan akan diambil kepada individu yang didapati melakukan perbuatan tersebut.

"MPS ingin mengingatkan bahawa semua kemudahan awam yang disediakan adalah untuk kegunaan bersama dan orang ramai haruslah lebih bertanggungjawab agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan," kata beliau.

Justeru, katanya, pihaknya meminta orang ramai menjadi 'mata dan telinga' MPS membuat laporan jika melihat perlakuan tidak bertanggungjawab ke atas kemudahan awam milik MPS.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zin berkata, sebuah kilang telah diarahkan tutup setelah didapati terdapat tempat pembiakan nyamuk di sekitar premis kilang itu pada 28 Oktober lalu.

"Hasil pengecaman larva nyamuk dari premis yang diperiksa didapati ia daripada spesies nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

"Premis ini telah diarahkan tutup bermula 1 hingga 14 November 2021 untuk tempoh (14) hari, supaya kerja-kerja pembersihan boleh dijalankan sehingga premis ini tidak lagi boleh membiakkan atau menjadi tempat kepada serangga pembawa penyakit," katanya.

Jelas beliau, operasi penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 8, Sub Seksyen 3(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.

"Unit Kawalan Denggi MPS seterusnya akan memantau secara berkala sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pemilik mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum premis dibenarkan untuk beroperasi semula," ujarnya.

Jelas beliau, sebanyak 1,695 kes denggi telah direkodkan melibatkan satu kematian dan tiga kawasan 'hotspot' telah dikenal pasti di seluruh kawasan pentadbiran MPS dari Januari hingga September lalu.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memberi perhatian serius dengan meningkatkan tahap kebersihan serta melakukan aktiviti pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes ditinggalkan di persekitaran masing-masing," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!