X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

JAWI buat ketetapan baharu imarah masjid, surau

JAWI membuat ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa bermula pada Khamis.(Gambar hiasan) - Foto Bernama, gambar kecil: Mohd Ajib
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa bermula pada Khamis.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, ketetapan diputuskan itu antaranya mengurangkan penjarakan fizikal antara 1.5 meter kepada satu meter.

"Ketetapan itu turut membenarkan warganegara asing yang mendapat vaksin lengkap untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Ajib berkata, selain itu, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas yang mendapat vaksin lengkap dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

"Murid tadika dan Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA) dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

"Turut dibenarkan majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis akikah dan lain-lain majlis sosial untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal," katanya.

Katanya, semua kebenaran tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!