Penduduk disaran bersiap sedia kenaikan paras air pasang

Skuad Pantas MPKL memantau kawasan persisiran pantai dan lokasi yang berpontensi dinaiki air akibat fenomena air pasang bermula Rabu sehingga Ahad.Gambar kecil: Norhisham
Skuad Pantas MPKL memantau kawasan persisiran pantai dan lokasi yang berpontensi dinaiki air akibat fenomena air pasang bermula Rabu sehingga Ahad.Gambar kecil: Norhisham
A
A
A

KUALA LANGAT - Penduduk tinggal berdekatan persisiran pantai di Kuala Langat disaran bersiap sedia untuk menghadapi fenomena air pasang besar yang diramal berlaku bermula Jumaat sehingga Ahad.

Tinjauan Sinar Harian bersama Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kira-kira jam 5 pagi, pada Khamis mendapati, air melimpah ke atas jalan raya di Pantai Kelanang.

Bagaimanapun, fenomena air pasang di beberapa kawasan lain dilaporkan masih terkawal walaupun dijangka ketinggian air meningkat daripada 5.5 meter kepada 5.6 meter bermula pada Jumaat.

Setiausaha Skuad MPKL merangkap Ketua Operasi Skuad Pantas yang bertugas pada Khamis, Norhisham Othman berkata, pihaknya mula memantau beberapa kawasan yang berpotensi mengalami fenomena air pasang bermula Rabu sehingga Ahad.

Menurutnya, setiap pasukan mempunyai empat orang anggota yang memantau fenomena air pasang di kawasan-kawasan tersebut dan bertugas mengikut syif pagi dan petang.

"Selain memantau fenomena air pasang, kami mendapati sekumpulan orang awam yang duduk bersantai di tepi pantai diarah beredar kerana semua kawasan perairan dan persisir pantai di bawah kendalian MPKL ditutup sejak Rabu hingga Ahad.

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak memasuki semua kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Sinar Harian meninjau kawasan perumahan Taman Harmoni, Morib yang didakwa sering dinaiki air ketika fenomena air pasang.

Artikel Berkaitan:

Penduduk di kawasan berkenaan sudah bersiap siaga untuk menghadapi fenomena tersebut.

Seorang penduduk, Zaiton Mat Kilau, 58, berkata, kawasan tersebut kerap dinaiki air sejak 10 tahun lalu.

Pesara guru tersebut berkata, dia membuat persiapan rapi dengan memasang kanvas untuk menutup bahagian bawah pintu pagar rumah supaya rumahnya tidak dimasuki air.

"Tahun ini sahaja tiga kali fenomena air pasang berlaku. Jadi, kali ini saya boleh bersedia sebaik mungkin," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nurhaslinda Mohd Salleh, 48, berkata, keluarganya sudah biasa dengan fenomena air pasang ini dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan kenaikan air.

"Kadangkala air naik setinggi 0.3 meter tapi tidak sampai masuk ke dalam rumah, cuma kawasan jalan yang dinaiki air.

"Disebabkan air yang naik tidak tinggi, saya cuma alihkan kenderaan ke tempat lain," kata suri rumah tersebut.

Selain itu, Khairy Hamizan Abd Rahman, 25, berkata, kawasan rumahnya jarang dinaiki air apabila musim air pasang kerana kawasan rumahnya lebih tinggi berbanding tempat lain di sekitar taman perumahan tersebut.

Namun dia yang sudah menetap di situ sejak 18 tahun lalu, tetap bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan jika berlalu fenomena alam tersebut.

"Biasanya air cuma naik setakat depan rumah sahaja tetapi kami tetap siap sedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.

Yusuf Jouhari, 85, pula berkata, dia sedikit beruntung apabila rumahnya jarang dinaiki air kerana terletak di kawasan tinggi.