Polis marin gagalkan cubaan seludup 727 tayar dari Singapura

Ayob Khan lakukan pemeriksaan terhadap 727 tayar pelbagai jenama yang dirampas PPM Wilayah Dua dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PPM Wilayah Dua di Johor Bahru hari ini.
 - Foto Bernama
Ayob Khan lakukan pemeriksaan terhadap 727 tayar pelbagai jenama yang dirampas PPM Wilayah Dua dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PPM Wilayah Dua di Johor Bahru hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan cubaan menyeludup masuk 727 tayar pelbagai jenis bernilai lebih RM690,000 dari Singapura, di Plaza Tol Kempas, di sini, 28 Oktober lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan itu hasil daripada pemantauan dan intipan pasukan PPM, dengan mengekori sebuah treler mencurigakan yang keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kira-kira jam 5.35 petang.

“Polis telah menahan lori treler berkenaan dan menahan seorang lelaki lelaki tempatan yang merupakan pemandu berusia 56 tahun di Plaza Tol Kempas.

“Susulan itu, satu lagi tangkapan berjaya dilakukan ke atas seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun di sebuah premis di Taman Sri Skudai pada keesokan harinya, kira-kira jam 6.05 petang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPM Wilayah Dua, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki kedua ditahan dipercayai berperanan menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai masuk ke negara ini dari Singapura, selain merupakan majikan kepada lelaki dalam tangkapan pertama.

Ayob Khan berkata, selain tayar, turut dirampas sebuah lori treler jenis Mitsubishi bernilai RM150,000 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM847,759.

Jelasnya, kedua-dua individu yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sindiket terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak lebih enam atau tujuh bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai pembabitan 'orang dalam' dalam kegiatan itu, Ayob Khan berkata, siasatan masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Pintu masuk bukan di bawah tanggungjawab kita, namun kita akan berkolaboratif dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mengesan dalang aktiviti penyeludupan itu, kerana modus operandi mereka adalah menggunakan laluan yang dikawal jabatan berkenaan.

“Jika kita melihat di pintu masuk, ada disediakan laluan khas untuk lori yang isytihar tidak membawa barang, treler terbabit melepasi laluan itu,” katanya sambil menambah tayar seludup baharu itu dipercayai akan dijual pada harga lebih murah atau mengikut harga pasaran.

Katanya, lelaki pertama direman tujuh hari, manakala lelaki kedua direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama