Dua penduduk Muslim menang jawatan datuk bandar AS

Gambar dari kiri: Abdullah Hammoud, Amer Ghalib
Gambar dari kiri: Abdullah Hammoud, Amer Ghalib
A
A
A

LANSING - Dua penduduk Muslim di Amerika Syarikat (AS) dipilih menjadi datuk bandar yang beragama Islam untuk mentadbir dua bandar di negeri Michigan dengan mengalahkan pencabar masing-masing dalam pilihan raya bagi memegang jawatan itu.

Menurut portal Arab American News pada Rabu, anggota parti Republikan, Abdullah Hammoud yang berusia 31 tahun dan berketurunan Arab Lubnan menjadi rakyat AS yang pertama beragama Islam memegang jawatan datuk bandar Dearborn di negeri Michigan.

Bandar itu mempunyai ramai penduduk Arab dan Muslim di AS.

Hammoud menewaskan pencabarnya, Gary Woronchak iaitu bekas anggota Dewan Perwakilan Michigan daripada parti Demokrat dan berusia 66 tahun dengan mendapat 54.6 peratus undi berbanding Woronchak iaitu 45.2 peratus.

Beliau kemudian bersyukur kepada ALLAH ekoran kemenangannya di bandar tersebut yang mempunyai 47 peratus penduduk Arab Amerika dengan etnik Lubnan menjadi kumpulan terbesar berdasarkan kepada bancian pada tahun 2019.

Hammoud memperoleh undi sebanyak 13,031 berbanding Woronchak yang mendapat 10,783 undi.

Berikutan kemenangan itu, beliau akan menggantikan Datuk Bandar, John 0'Reilly Jr yang turut dikenali dengan nama 'Jack' dan tidak bertanding untuk penggal seterusnya kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Muslim berketurunan Arab Yemen, Amer Ghalib turut mencipta sejarah apabila menjadi datuk bandar Hamtramck yang pertama beragama Islam memegang jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau memperoleh undi sebanyak 68 peratus dengan mengalahkan penyandang jawatan terdebut, Karen Majewski yang hanya mendapat 31 peratus di bandar yang mempunyai majoriti populasi penduduk Islam di AS.

Galib, 42, yang merupakan pekerja kesihatan mendapat undi sebanyak 3,232 manakala Majewski memperoleh 1,485 undi. - Agensi