X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat, Johor pulih

Keadaan sekitar di Kampung Alor Semelor, Tajar dilimpahi air berikutan hujan lebat ketika tinjauan pada Selasa. - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kedah pada sebelah pagi ini meningkat sedikit, Johor pulih sepenuhnya manakala di Melaka pula hampir pulih dengan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah mangsa banjir pada 8 pagi Khamis adalah 823 orang berbanding 736 orang petang Rabu dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam Rabu.

Katanya, dua PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent dan SK Titi Gajah di daerah Kota Setar.

Mohd Muaz berkata, daerah Kota Setar kini mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 300 orang daripada 117 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS diikuti daerah Pendang dengan 291 orang mangsa daripada 76 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

“PPS SK Convent di daerah Kota Setar menempatkan seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga, manakala SK Titi Gajah menempatkan 75 mangsa daripada 26 keluarga dan kedua-dua PPS dibuka pada 8 malam tadi (Rabu),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Daerah Kubang Pasu pula mencatatkan seramai 100 mangsa daripada 25 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS, sementara seramai 48 orang daripada 14 keluarga dipindahkan di dua PPS di Pokok Sena.

Di JOHOR, keadaan banjir kilat di Pontian, pulih sepenuhnya apabila PPS SK Melayu Raya yang dibuka sejak Selasa lalu ditutup pada jam 9 pagi Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, PPS berkenaan yang menempatkan seramai 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Paya Embun ditutup susulan keadaan banjir surut dan cuaca bertambah baik.

Selasa lalu, hujan lebat selama dua jam mengakibatkan 18 orang penduduk kampung Paya Embun terpaksa dipindahkan ke PPS SK Melayu Raya bertempat di daerah Segamat selepas kediaman mereka dinaiki air.

Di MELAKA, hanya satu PPS masih dibuka di Sekolah Rendah (SK) Durian Tunggal yang menempatkan empat mangsa daripada dua keluarga setakat 8 pagi Khamis.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata, keadaan banjir di Alor Gajah hampir pulih sepenuhnya, mangsa terlibat dijangka dibenarkan pulang setelah kerja-kerja pembersihan di rumah mereka selesai dilakukan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!