UMP naik ke kedudukan ke-129 terbaik Asia

UMP melonjak ke tangga ke-129 berbanding ke-133 pada tahun lalu dalam QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022 pada Selasa lalu. (Gambar kecil: Dr Yuserrie)
UMP melonjak ke tangga ke-129 berbanding ke-133 pada tahun lalu dalam QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022 pada Selasa lalu. (Gambar kecil: Dr Yuserrie)
A
A
A

KUANTAN- Universiti Malaysia Pahang (UMP) melonjak ke tangga ke-129 berbanding ke-133 pada tahun lalu dalam QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022 pada Selasa lalu.

Penilaian itu dibuat terhadap 687 institusi dari seluruh Asia dengan 40 penyertaan baharu dengan mengambil kira 11 kriteria.

Antara kriteria yang dinilai membabitkan reputasi akademik, majikan, nisbah staf akademik dan pelajar, jumlah sitasi bagi penerbitan, jumlah penerbitan saintifik setiap staf akademik serta staf akademik berkelayakan.

Lain-lain adalah jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar ke luar negara dan pertukaran pelajar antarabangsa ke dalam negara.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan lagi dalam usaha memajukan dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan terhadap bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi.

"Kami akan memperkukuh peranannya sebagai universiti teknologi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau juga berkongsi kejayaan apabila UMP turut tersenarai 'The Best Global Universities Rankings' dalam 'United States News and World Report' baru-baru ini mengukur prestasi penyelidikan akademik institusi berdasarkan 13 petunjuk termasuk reputasi global dan serantau.

Katanya, berdasarkan laporan itu, UMP berada di kedudukan 1,058 terbaik dunia, 258 terbaik Asia dan sembilan terbaik antara IPT di Malaysia manakala subjek Energy and Fuels berada di kedudukan 173 terbaik dunia, subjek kejuruteraan (343) serta subjek kimia (734) terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, seramai 12 pensyarah UMP telah tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin kejuruteraan, sains dan teknologi merujuk data daripada Universiti Stanford yang berpangkalan di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Pengiktirafan ini akan menggalakkan interaksi antara penyelidik tempatan dan antarabangsa serta industri bagi meneruskan kecemerlangan akademik selain mencipta peluang penyelidikan bagi memasyarakatkan teknologi.

"Pelbagai usaha sedang dibangunkan bagi memfokuskan terhadap peningkatan keupayaan teknikal negara antaranya ialah melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri bagi melahirkan graduan yang holistik," katanya

Dalam pada itu, Dr Yuserrie berkata, perancangan Pelan Strategik UMP 2021 hingga 2025 kini bakal meletakkan UMP untuk terus mencapai kegemilangan.

Katanya, enam objektif strategik iaitu Keunggulan TVET aras tinggi, inovasi dengan kolaborasi industri, pemerkasaan teknologi berimpak tinggi, kelestarian kewangan, kecemerlangan ekosistem universiti dan keusahawanan graduan.

Maklumat Penarafan Universiti Dunia QS: Asia edisi 2022 yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds sebagai penganalisis pendidikan tinggi global boleh diakses melalui topuniversities.com.