Tiga gol awal tentukan kemenangan TFC

Nafuzi mengakui, tiga gol awal pada babak pertama menjadi penentu kemenangan pasukannya ke atas Perak FC malam Rabu. - Foto Bernama
Nafuzi mengakui, tiga gol awal pada babak pertama menjadi penentu kemenangan pasukannya ke atas Perak FC malam Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

JURULATIH Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui, tiga gol awal pada babak pertama menjadi penentu kemenangan pasukannya ke atas Perak FC malam Rabu.

Menurut Nafuzi, beliau sangat berpuas hati kerana pemainnya bermain mengikut perancangan bermula dari awal sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Walaupun kami menang besar, ia sebenarnya bukanlah tugas mudah dan saya tidak menganggap skuad Seladang sebagai pasukan yang mudah ditundukkan.

“Tetapi pemain bermain dengan disiplin dan mengikut apa yang dirancang. Sebelum perlawanan juga saya sudah jangka pihak lawan akan bermain dengan lebih bertahan,” katanya selepas aksi Piala Malaysia menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam Rabu.

Pada perlawanan itu Terengganu menang besar 4-0 ke atas Perak sekali gus melayakkan mereka ke peringkat suku akhir lebih awal.

Sementara itu pengendali Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil mengakui kegagalan pemainnya menyerap tekanan terutama di hadapan lebih 4,000 penonton Terengganu menjadi punca utama kekalahan mereka.

Walau bagaimanapun, beliau tetap memuji semangat anak buahnya yang enggan mengalah dan cuba bangkit biarpun dibolosi tiga gol dalam tempoh 30 minit permainan.

“Saya cuba menukar strategi pada babak kedua dan pemain nampaknya mula bermain dan cuba membuat serangan balas, tetapi tidak berjaya menghasilkan gol,” katanya yang akur dengan penyingkiran pasukannya daripada saingan Piala Malaysia selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut. - Bernama

Artikel Berkaitan: