Mayat mangsa kemalangan ditinggalkan di Unit Kecemasan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

JELI - Mayat seorang remaja lelaki mangsa kemalangan ditinggalkan di Unit Kecemasan Hospital Jeli di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira- kira jam 6.30 pagi sebelum siasatan lanjut dijalankan.

"Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa kerana tidak ada sebarang maklumat mengenai dirinya ditemui," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 14 tahun dan beralamat di Kampung Kelar Besar, Tok Uban Pasir Mas itu dalam perjalanan ke utara tanah air.

"Bagaimanapun treler yang ditumpang mangsa terbabas di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur Barat Jeli- Gerik (selepas Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa)," katanya.

Tambahnya, mangsa mungkin dihantar pengguna laluan berkenaan, namun sehingga kini belum diketahui latar belakangnya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamil berkata, kes berkenaan disiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPTD) Gerik di bawah Seksyen 41 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat mangsa masih berada di Unit Forensik Hospital Jeli untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: