Guardiola lega lepasi Club Brugge, fokus derbi Manchester

Guardiola
Guardiola
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji kebolehan istimewa bek kanan, Joao Cancelo selepas tiga bantuan golnya membolehkan The Citizens mengatasi Club Brugge 4-1 dalam perlawanan Kumpulan A saingan Liga Juara-Juara di Stadium Etihad.

Cancelo menghadirkan gol pembukaan City menerusi Phil Foden diikuti hantaran lintang yang disempurnakan Riyad Mahrez untuk melebarkan kelebihan 2-0 babak kedua selepas gol sendiri John Stone minit ke-17 menyamakan kedudukan sebelum itu.

Pemain Portugis itu kemudiannya menghadiahkan pemain gantian Gabriel Jesus satu gol pada minit ke-92 bagi melengkapkan jaringan Raheem Sterling (72') untuk kedudukan 4-1.

“Cancelo telah bermain dengan sangat baik sepanjang musim.

“Namun sudah tentu ada masanya dia perlu meningkatkan kualiti permainan bagi bersaing dengan pemain lain.

“Ya, dia melalui fasa suka dan duka tetapi dia mempunyai keupayaan istimewa untuk melakukan sesuatu yang baik bagi kelab ini,” kata Guardiola.

Kemenangan itu melonjak Manchester City di tangga teratas Kumpulan A dengan sembilan mata, lebih satu mata daripada Paris St Germain (PSG) dan mereka kini memerlukan satu mata untuk memastikan kemaraan ke fasa kumpulan untuk musim kesembilan berturut-turut.

Dengan kemaraan ke pusingan berikutan hampir terjamin, Guardiola berkata, kini dia memberi fokus kepada derbi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United pada minggu ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu perlawanan menentang United adalah perkara yang paling penting.

"Kami akan mewujudkan persekitaran yang baik tetapi anda tidak boleh bayangkan betapa pentingnya hari ini.

"Kami telah melakukan dua perlawanan hebat (menentang Brugge) dan kini kami memikirkan tentang United," kata pengendali dari Sepanyol itu.