DUN Sarawak terbubar automatik kerana cukup tempoh

DUN Sarawak
DUN Sarawak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desas-desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sejak minggu lepas menjadi kenyataan apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat di negeri itu.

Dalam kenyataan Istana Negara pada Rabu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan itu berikutan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menamatkan darurat di negeri berkenaan pada sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Selasa.

Mengulas perkara itu, Pakar Perlembagaan Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, kerajaan negeri Sarawak telah terbubar secara automatik kerana telah mencapai tempoh matang dan Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan.

‘’Apabila proklamasi darurat ditamatkan dan Ordinan Darurat diungkai maka terbubarlah Dewan Undangan Negeri Sarawak.

‘’Menurut Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, apabila dewan undangan bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dewan undangan itu bubar dan dewan undangan yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu,’’ katanya kepada Bernama.

Pada 31 Julai lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat Sarawak di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos hingga 2 Feb 2022 sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas namun fasal itu tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN.

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak menyatakan Seri Paduka Baginda boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, Tun Abdul Taib tidak perlu mengumumkan pembubaran DUN kerana kerajaan negeri itu telah mencapai tempoh lima tahun untuk diadakan PRN.

“Tidak perlu TYT (Yang di-Pertua Negeri Sarawak) umumkan DUN bubar sebab DUN pun dah terbubar.

“Cuma apa tindakan yang boleh dibuat sekarang ialah maklumkan kepada Speaker (DUN Sarawak) dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bahawa DUN telah terbubar supaya PRN boleh diadakan dalam tempoh 60 hari,’’ katanya. - Bernama