Keluarga Malaysia diingatkan sambut Deepavali dalam norma baharu

Hantaran di Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam ini.
Hantaran di Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan Keluarga Malaysia yang beragama Hindu agar menyambut perayaan Deepavali esok dengan menerapkan amalan norma baharu.

"Semoga perayaan ini menyemarakkan lagi semangat perpaduan di bumi tercinta ini. Sambutlah perayaan dengan penuh kebahagiaan dalam penerapan norma baharu.

Ukirkan senyuman yang lebar dalam pesta cahaya dengan penerapan jalinan kasih sayang sesama kita, sebagai ahli Keluarga Malaysia yang dicintai dan disayangi di negara ini," katanya menerusi hantaran di Twitter dan Facebook rasmi beliau malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula berharap dalam menyambut perayaan itu dengan penuh keceriaan, rakyat Malaysia berganding bahu menjalankan tanggungjawab bersama serta berusaha membantu negara dalam membuka semula ekonomi dan aktiviti sosial dengan selamat.

"Sentiasa amalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. Tingkatkan penilaian kendiri Covid-19 dengan TRIIS iaitu test, report, isolate, inform, seek (Uji, Lapor, Asing, Maklum dan Dapatkan).

"Apa yang kita lakukan sekarang amatlah penting pada bulan-bulan yang akan datang sebagai penanda aras persediaan kita memasuki fasa endemik," katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan semoga cahaya perayaan ini memberi kesihatan dan kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia yang menyambut Deepavali.

"Kita jaga kita. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga komuniti dan negara kita," kata Dr Noor Hisham mengakhiri hantaran itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: