Kelab Liga-M kena belanja ikut bajet

Hamidin (enam, kanan) semasa majlis perbincangan antara FAM dan PFAM di Wisma FAM, pada Rabu. FOTO: FB FAM.
Hamidin (enam, kanan) semasa majlis perbincangan antara FAM dan PFAM di Wisma FAM, pada Rabu. FOTO: FB FAM.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa badan induk bola sepak negara itu sentiasa memandang serius isu tunggakan gaji yang masih membelenggu beberapa kelab Liga Malaysia (Liga-M) walaupun kadar kes mengalami penurunan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM dan PFAM sentiasa memandang serius isu tunggakan gaji, diingatkan kelab untuk berbelanja mengikut bajet dan kemampuan kadar kewangan agar masalah ini tidak lagi membelenggu dunia bola sepak negara.

“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan lagi cara serta perfahaman pengurusan penswastaan kelab di mana ia penting untuk pembangunan pemain serta bola sepak secara keseluruhan.

“Secara kesimpulan, kerjasama erat amat penting antara FAM dan PFAM untuk kedua organisasi ini memikirkan kepentingan bersama antara kelab dan pemain demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.

Hamidin berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) membabitkan isu semasa bola sepak tanah air di Wisma FAM pada Rabu.

Turut dibincangkan ialah isu tunggakan gaji pemain yang semakin menurun tetapi masih ada menghimpit beberapa pasukan, isu membabitkan cukai pendapatan pemain dan cadangan atau kaedah jika melaksanakan tangga gaji siling.

Hadir sama, dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bersama Datuk S Sivasundaram; Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali; Timbalan Presiden PFAM, Shahrom Kalam; Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail; Setiausaha PFAM, Razman Roslan dan Eksekutif Perundangan PFAM, Azzairi Rosle.

Artikel Berkaitan:

Hamidin juga mengingatkan bahawa FAM bersama PFAM perlu meneruskan kerjasama yang baik dan berkomunikasi secara telus dalam bersama-sama memikirkan kaedah menyelesaikan isu bola sepak bersama.

“Agenda utama perbincangan ialah lebih ke arah untuk meningkatkan lagi dan menambah baik gerak kerja antara FAM dan PFAM terutama dalam undang-undang bola sepak membabitkan pemain.

“Kerjasama antara FAM dan PFAM penting dalam memainkan peranan besar menyelesaikan isu semasa bola sepak khususnya untuk memelihara kepentingan pemain dan mutu bola sepak negara,” katanya.