LCMB kurangkan pelepasan karbon 165 juta tan

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) yang menyediakan strategi dan pelan tindakan untuk sektor pengangkutan darat bagi mencapai pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2030.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, LCMB telah diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas dengan pelaksanaannya mampu mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 51,000 kilo tan minyak setara bersamaan dengan potensi pengurangan pelepasan karbon sebanyak 165 juta tan menjelang 2030.

"Jumlah ini bersamaan dengan pengurangan sebanyak tiga juta kenderaan di atas jalan raya atau penanaman sebanyak 410 juta pokok yang dapat bertindak sebagai sinki karbon bagi penyerapan karbon," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tuan Ibrahim memberitahu, LCMB secara keseluruhannya mampu mengurangkan perbelanjaan bahan api negara sehingga RM150 bilion dan mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang yang berkaitan.

LCMB jelas beliau, mempunyai empat bidang fokus yang disokong oleh 10 strategi dan 45 pelan tindakan antaranya pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penambahbaikan kecekapan bahan api dan pelepasan GHG oleh kenderaan.

Selain itu, ia juga untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik, penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan bahan api alternatif dan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui peralihan mod pengangkutan.

Menurut Tuan Ibrahim, LCMB turut menggalakkan mobiliti aktif iaitu mod pengangkutan yang dapat mengurangkan pelepasan GHG serta memberi pelbagai manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental, seperti berjalan kaki dan penggunaan basikal.

Tambah beliau, LCMB adalah sejajar dengan matlamat dan strategi Meningkatkan Mobiliti Mesra Alam di bawah Bab 8: Mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu memberi fokus kepada keperluan pembangunan bandar rendah karbon.

Artikel Berkaitan:

LCMB katanya akan dilaksanakan secara holistik dengan usaha bersepadu dan kerjasama strategik bersama kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta semua kerajaan negeri.

"Pelaksanaan LCMB ini menyokong komitmen kerajaan di peringkat global untuk mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan," katanya. -Bernama