Jumlah mangsa di Melaka dan Kedah berkurangan, Perlis pulih

Aidilwafi Izmisyamri, 9, bermain bersama rakannya di halaman rumah mereka yang dinaiki air ketika tinjauan fenomena air pasang besar di sini pada Rabu. - Foto Bernama
Aidilwafi Izmisyamri, 9, bermain bersama rakannya di halaman rumah mereka yang dinaiki air ketika tinjauan fenomena air pasang besar di sini pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Melaka dan Kedah menunjukkan penurunan manakala keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu ditutup.

Keadaan di Johor pula tidak berubah setakat petang Rabu.

Di MELAKA, jumlah mangsa terjejas banjir terus menurun daripada 24 mangsa daripada sembilan keluarga kepada 14 mangsa (empat keluarga) setakat 4 petang Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa adalah dari daerah Alor Gajah dan ditempatkan di PPS Sekolah Rendah (SK) Durian Tunggal.

''Dua lagi PPS di daerah itu iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal ditutup pada 2 petang,'' katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Di KEDAH, tiga PPS ditutup sekali gus menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurangan kepada 736 orang daripada 200 keluarga setakat 4 petang Rabu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah, Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, tiga PPS tersebut membabitkan dua di daerah Baling dan satu di Kubang Pasu.

“Kedua-dua PPS di Baling iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan SK Tunku Putera ditutup pada jam 2 petang, manakala PPS di Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun ditutup 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

“Tiga PPS tersebut sebelum ini menempatkan seramai 24 mangsa daripada 11 keluarga, bagaimanapun terdapat beberapa PPS menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa setakat 4 petang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, secara keseluruhan seramai 736 mangsa daripada 200 keluarga di empat daerah di negeri ini berada di 10 PPS dengan Pendang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292 mangsa daripada 75 keluarga di dua PPS.

Daerah Kota Setar pula mencatatkan seramai 275 mangsa daripada 80 keluarga di empat PPS, diikuti Kubang Pasu dengan 120 mangsa daripada 30 keluarga di dua PPS dan Pokok Sena di mana seramai 49 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Di PERLIS, banjir semakin pulih dan semua PPS di Arau yang menempatkan penduduk terjejas sejak Selasa, telah ditutup petang Rabu.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohammad Hazam Ismail, semua penduduk telah pulang ke rumah masing-masing susulan banjir di kediaman mereka telah surut dan PPS diisytiharkan tutup sepenuhnya pada 2.30 petang.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat di daerah Pontian masih kekal seramai 18 orang daripada empat keluarga setakat 4 petang Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, kesemua penduduk dari Kampung Paya Embun itu ditempatkan di PPS SK Melayu Raya sejak 9 malam Selasa.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata, setakat ini keadaan cuaca di kawasan berkenaan mendung, bagaimanapun, paras air dilihat hampir surut sepenuhnya. - Bernama