X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Kutipan Cukai Makmur, cukai pendapatan sumber asing dijangka RM5b

Gambar hiasan
A
A

KERAJAAN dijangka mengutip Cukai Makmur dan cukai ke atas pemastautin di Malaysia bagi pendapatan berpunca daripada sumber asing berjumlah RM5 bilion, menurut Maybank Kim Eng (MKE).

Ketua Penyelidikan Ekuiti MKE Malaysia dan Serantau, Anand Pathmakanthan berkata, pihaknya mengunjurkan RM3.5 bilion akan dipindahkan daripada syarikat tersenarai kepada kerajaan sebagai Cukai Makmur dan RM1.5 bilion bagi cukai ke atas pendapatan daripada sumber asing.

Beliau yang memetik maklumat daripada taklimat dengan Kementerian Kewangan baru-baru ini berkata, para penganalisis kini sedia maklum bahawa 240 daripada 1.4 juta syarikat di Malaysia akan tertakluk kepada Cukai Makmur.

"Berdasarkan 100 syarikat di bawah liputan MKE, Cukai Makmur dijangka memberi kesan empat hingga lima mata peratusan ke atas pendapatan bagi dua pertiga daripada syarikat ini pada 2022," katanya pada webinar Maybank Investment Bank Bhd bertemakan ‘Malaysia Budget 2022: Reinforcing the Nascent Recovery’ pada Rabu.

Beliau berkata, pengurangan empat hingga lima mata peratusan ke atas pendapatan 2022 bermakna pertumbuhan pendapatan di FBM KLCI yang menjadi penanda aras juga akan suram pada tahun depan.

“Justeru, atas sebab itu kami terpaksa merendahkan sasaran FBM KLCI bagi 2021 kami kepada 1,530 berbanding 1,720 sebelum ini, kerana ia bukan hanya akan memberi kesan pendapatan bagi 2022 malah mewujudkan ketidaktentuan sama ada ia diteruskan pada tahun seterusnya,” katanya.

Anand berkata, bagi sektor perbankan, Cukai Makmur mungkin menjejaskan tujuh hingga 11 peratus pendapatan bank tahun depan.

“Ini pastinya akan memberi tekanan dari segi pembayaran dividen...ya, anda akan memperoleh dividen, namun normalisasi (pembayaran dividen) mungkin dapat dilihat pada 2023,” katanya.

Beliau berkata, firma perladangan juga tidak akan terkecuali susulan harga minyak sawit mentah (MSM) semasa yang tinggi apabila melepasi RM5,400 satu tan.

"Bagaimanapun, syarikat multinasional dijangka tidak terjejas dengan pengenaan cukai ini memandangkan mereka mungkin berunding mengenai struktur cukai dengan kerajaan sebelum melabur di negara ini," katanya.

Beliau berkata, dari segi aliran dana, walaupun dana asing dilihat telah kembali ke dalam pasaran ekuiti tempatan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut sejak Ogos 2021, namun diragui sama ada momentum tersebut akan berterusan sehingga November.

“Saya juga tidak pasti bagaimana situasi pasaran pada November selepas pengumuman mengenai Cukai Makmur...mungkin tidak terlalu menarik,” katanya.

Mengenai impak Bajet 2022 terhadap penarafan negara, Ketua Penyelidikan Pendapatan Tetap MKE, Winson Phoon menjangkakan Fitch mengekalkan unjuran BBB+/Stabil manakala Moody’s pula pada unjuran A3/Stabil bagi Malaysia.

“Satu-satunya risiko ialah S&P, yang memberi prospek A-/Negatif untuk Malaysia.

“Persoalan penting adalah sama ada pengukuhan fiskal jangka sederhana Malaysia ini cukup besar atau pantas untuk mengelakkan penarafan diturunkan, yang saya fikir ia mungkin hampir-hampir berlaku,” katanya.

Dari segi Kadar Dasar Semalaman (OPR), Phoon berkata, MKE menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar itu sebanyak 25 mata asas pada 2022, manakala pasaran pula mengunjurkan lebih dua kali kenaikan tahun depan.

Firma pembrokeran itu juga menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang enam peratus pada 2022, sejajar dengan unjuran kerajaan pada pertumbuhan 5.5 hingga 6.5 peratus.

Phoon berkata, secara keseluruhan, MKE memberi saranan ‘neutral’ terhadap prospek Sekuriti Kerajaan Malaysia (MSG) dan kenaikan sederhana bagi tempohnya.

"Ia susulan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang akan berakhir dan akan membantu menyokong pasaran bon dalam denominasi ringgit untuk jangka tertentu," katanya.

Beliau yakin pengurangan kadar caruman KWSP kepada sembilan peratus daripada 11 peratus seperti yang diumumkan kerajaan ketika membentangkan Bajet 2022 baru-baru ini tidak akan memberi kesan ketara kepada pasaran bon tempatan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!