Op Dadu: Lapan individu ditahan terlibat judi dalam talian

Polis menyerbu dua premis perjudian di Bandar Sri Permaisuri Cheras pada 10 Oktober lalu.
Polis menyerbu dua premis perjudian di Bandar Sri Permaisuri Cheras pada 10 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan lapan individu disyaki terlibat dengan aktiviti judi dalam talian di dua premis perjudian di Bandar Sri Permaisuri Cheras pada 10 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, kesemua individu berusia 23 hingga 58 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Dadu pada jam 4.45 petang.

Menurutnya, mereka ditahan ialah dua penjaga premis, empat pekerja premis warga asing dan dua individu yang sedang bermain judi dalam talian dengan menggunakan komputer riba.

"Polis juga merampas 32 buah komputer riba pelbagai jenama, 32 tetikus, satu papan kekunci komputer, tiga unit modem, satu unit perakam kamera litar tertutup dan wang tunai RM904.

"Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) akta yang sama dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan pemotongan bekalan tenaga elektrik ke atas premis tersebut atas permohonan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada jam 3 petang Rabu.

"Pemotongan bekalan tenaga elektrik ini dilakukan mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289].

"Mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan tenaga elektrik tidak boleh disambungkan semula oleh pihak pembekal atau pemegang lesen tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah Cheras," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saiful Annuar berkata, orang ramai juga diberi amaran keras agar tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggari undang-undang.

"Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.