Bursa Malaysia ditutup rendah

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah pada Rabu berikutan pelabur menjual saham berwajaran tinggi terpilih yang diterajui oleh Top Glove Corporation Bhd dan Maxis Bhd, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.30 mata kepada 1,531.33 daripada 1,537.63 sewaktu ditutup pada Selasa.

Top Glove dan Maxis berkurangan sembilan sen masing-masing kepada RM2.49 dan RM4.58, sekali gus menyebabkan indeks barometer itu turun 2.58 mata.

Indeks itu yang dibuka tinggi 5.52 mata pada 1,543.15, turun naik antara 1,530.35 dan 1,543.87 pada sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 647 kepada 322, manakala 443 kaunter tidak berubah, 863 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.42 bilion unit bernilai RM2.35 bilion daripada 3.65 bilion unit bernilai RM2.71 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata, Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan selepas mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh di Wall Street semalaman, namun kemudiannya rendah pada pertengahan pagi, kecuali dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan yang menyaksikan minat belian yang berterusan dan menyokong indeks barometer.

Menurut beliau, prestasi bursa tempatan adalah seiring dengan bursa serantau yang kebanyakannya ditutup rendah pada Rabu berikutan pelabur menantikan gambaran daripada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) lewat Rabu untuk tujuan hala tuju pasaran.

Artikel Berkaitan:

“Bank pusat AS dijangka mengumumkan cadangan untuk mengurangkan langkah rangsangan pandemik dan mendorong ekonomi,” katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.37 peratus kepada 3,220.40, Indeks Kospi Korea Selatan turun 1.25 peratus kepada 2,975.71 dan Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 0.30 peratus kepada 25,024.75, manakala pasaran Jepun ditutup berikutan cuti umum di negara itu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, FBM KLCI masih bergelut daripada impak Cukai Makmur berikutan korporat masih perlu mengambil kira impak cukai keuntungan luar biasa terhadap pendapatan mereka.

“Bagaimanapun, kita menyaksikan pelabur asing mencatat belian bersih berjumlah sehingga RM59.85 juta semalam berbanding RM14.97 juta pada Isnin berikutan mereka melihat nilai yang terdapat dalam saham tempatan dan memulakan pembelian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, langkah terkini Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada Rabu membuktikan bank pusat komited bagi memastikan dasar monetari yang kekal menyokong ekonomi negara.

“Ini bererti kos dana adalah kekal kompetitif, sekali gus merangsang perbelanjaan modal dalam kalangan syarikat. Sementara itu, kami menjangka dagangan dalam jajaran kecil dalam keadaan minggu percutian yang singkat ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.00, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM8.31, IHH Healthcare naik enam sen kepada RM6.52, Tenaga rendah dua sen kepada RM9.58 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.04.

Bagi saham aktif, NWP Holdings menokok enam sen kepada 30 sen, Sedania naik 6.5 sen kepada 69.5 sen, Dagang Nexchange susut empat sen kepada 78.5 sen, AirAsia X jatuh satu sen kepada 4.5 sen manakala Sapura Energy kekal pada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 39.98 mata kepada 11,358.51, Indeks FBMT 100 turun 32.29 mata kepada 10,984.73, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 57.94 mata kepada 12,399.65 dan FBM ACE menguncup 48.51 mata kepada 7,073.96.

Bagaimanapun, FBM 70 meningkat 5.91 mata kepada 15,091.21.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.30 mata kepada 203.05, Indeks Perladangan turun 54.42 mata kepada 6,788.50 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 7.28 mata kepada 15,187.09.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.29 bilion saham bernilai RM2 bilion daripada 2.35 bilion saham bernilai RM2.33 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 264.64 juta unit bernilai RM42.79 juta berbanding 395.01 juta unit bernilai RM72.67 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 856.90 juta saham bernilai RM313.42 juta daripada 908.16 juta saham bernilai RM304.85 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 382.18 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (826.08 juta), pembinaan (188.99 juta), teknologi (315.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.11 juta), hartanah (136.43 juta), perladangan (15.86), REIT (6.02 juta), dana tertutup (2,200), tenaga (202.90 juta), penjagaan kesihatan (57.09 juta), telekomunikasi dan media (22 juta), pengangkutan dan logistik (66.29 juta) dan utiliti (18.38 juta).

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup esok bersempena Deepavali. - Bernama