Pemandu lori, kelindan maut nahas tiga kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, pada Selasa.
Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pemandu lori dan kelindan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku pada jam 4.26 petang itu melibatkan dua buah lori jenis Isuzu dan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, nahas itu menyebabkan seorang pemandu lori berusia 38 tahun dan kelindannya yang berusia 30 tahun meninggal dunia.

"Seorang lagi pemandu lori berusia 26 tahun cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Azman berkata, pihak bomba menggunakan peralatan power unit bagi mengeluarkan dua mangsa tersepit dan mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir dan operasi tamat jam 5 petang.

Artikel Berkaitan: