X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Agong perkenan Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan

A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menamatkan proklamasi darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan proklamasi darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, proklamasi darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Baginda Tuanku menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

Menurutnya, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak tersebut juga masih di tahap yang membimbangkan.

“Perkenan Baginda Tuanku kepada penamatan proklamasi darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

“Namun, ia diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan negeri yang baharu.

“Sesungguhnya, Baginda Tuanku menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan serta sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” jelasnya.

Tambahnya, pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara bagi menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri Sarawak agar proklamasi darurat bagi negeri itu dapat ditamatkan.

Pada Rabu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-kabinet di Istana Negara.

“Pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam bermula jam 8 pagi itu, Baginda Tuanku telah perkenan menerima sembah nasihat Perdana Menteri berhubung penamatan proklamasi darurat di Sarawak.

“Baginda Tuanku turut perkenan menerima menghadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun bagi menyebah taklimat berhubung perkara sama,” ujar beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!