PDRM tunggu pengesahan Thailand, Australia keberadaan Sajat

Muhammad Sajjad atau lebih dikenali Nur Sajat
Muhammad Sajjad atau lebih dikenali Nur Sajat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu pengesahan rasmi daripada kedutaan Malaysia di Thailand dan Australia berhubung keberadaan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar pemakluman kepada kedutaan Malaysia di dua negara itu untuk mendapatkan pengesahan.

"Kita dapat tahu melalui dia (Nur Sajat) menerusi platform media sosialnya mengakui berada di Australia, namun kita perlu buat pengesahan secara rasmi.

"Kita sudah hantar pemakluman kepada kedutaan Thailand dan Australia untuk membuat pengesahan sama ada dia sudah keluar dari Thailand dan sudah sampai ke Australia, namun kita masih belum mendapat kata putus lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Abd Jalil berkata, sekiranya menerima pengesahan individu terbabit berada di Australia, pihaknya akan cuba menyalurkan maklumat kepada negara berkenaan.

"Ia terpulang kepada hak kedaulatan negara tersebut," katanya

Sebelum ini, usahawan kosmetik berkenaan menerusi perkongsian di Instagram miliknya berkongsi gambar rumah baharunya di Canterbury, Australia.

Berdasarkan 'live' Instagram miliknya, dia menyatakan rasa terharu kerana pihak berkuasa Australia banyak memberi sokongan terhadapnya daripada pelbagai aspek termasuk mendakwa diberi rumah itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya sekarang berada di Australia, tak nak pandang belakang dah. Saya sedang menjalani kuarantin, tak sabar nak habis dua minggu nanti nak pergi jalan-jalan.

"Pihak berkuasa Australia banyak sokong saya macam hantar pergi kelas tambahan, perbaiki skil bisnes dan kelas bahasa Inggeris serta beri rumah," katanya.