'Saya tidak obsesi untuk jadi PM'

Shafie
Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai obsesi dan bernafsu untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau mungkin mempertimbangkan sekiranya ditawarkan jawatan Perdana Menteri pada masa depan.

Katanya, ia kerana jawatan itu membolehkannya berkhidmat di peringkat negara dan dapat menggunakan pengalaman yang dimilikinya selama 32 tahun dalam kerajaan dan politik untuk manfaat rakyat.

"Saya tidak obsesi dan bernafsu tinggi untuk menjadi Perdana Menteri atau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Tetapi kalau diambil kira dari sudut pengalaman yang dimiliki, mungkin ia jadi satu kualiti yang boleh ditawarkan dan mengapa tidak kita tawarkan diri," katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Bersama Shafie Apdal: Relevankah Warisan di Semenanjung' yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Sepanjang perkhidmatannya, Mohd Shafie turut digelar 'menteri kampung' kerana menerajui beberapa kementerian yang dekat dengan rakyat.

Kementerian itu termasuklah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Penerangan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, pengalaman sama juga dimiliki rakan-rakan seperjuangannya yang lain yang membolehkan mereka menyelami hati dan jiwa nurani rakyat.

Katanya, pada masa sama mereka juga dapat melihat kerangka pentadbiran yang dimahukan rakyat.

Oleh itu, katanya, soal pemilihan Perdana Menteri itu pada akhirnya terserah kepada rakyat.